KOTA KINABALU: Kegiatan penyimpanan dan pengedaran minuman keras yang disyaki tidak bercukai kastam terbongkar selepas polis menyerbu sebuah premis di Penampang dan merampas pelbagai barangan bernilai hampir RM14 juta, bulan lalu.
Serbuan pada 27 Oktober itu membawa kepada rampasan 433,296 tin minuman keras pelbagai jenis dan jenama, selain dua lori serta dua van dengan keseluruhan nilai dianggarkan RM13.98 juta.
Dalam operasi berkenaan, polis turut menahan tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang dipercayai bekerja di premis terbabit bagi membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan itu mencatatkan nilai rampasan terbesar daripada enam siri operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di Sabah.
Katanya, operasi bersepadu menerusi Op Taring Alpha 2 dan Op Taring Alpha 5 dilaksanakan antara 22 hingga 27 Oktober lalu di sekitar Kota Kinabalu, Manggatal, Inanam, Putatan, Tamparuli dan Penampang.
“Keseluruhan enam siri operasi itu berjaya merekodkan rampasan bernilai RM16.88 juta membabitkan minuman keras tidak bercukai kastam, produk makanan, kesihatan dan kosmetik serta kenderaan.

“Daripada jumlah itu, rampasan minuman keras mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM14.95 juta, diikuti produk makanan, kesihatan dan kosmetik bernilai RM675,112 serta kenderaan berjumlah RM1.25 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Mess Pegawai Ibu Pejabat Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut, di sini, hari ini.
Mohd Yusri berkata, siasatan awal mendapati premis yang diserbu dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum bekalan minuman keras berkenaan diedarkan ke pasaran.
Katanya, kegiatan itu juga dipercayai didalangi sindiket terancang yang mempunyai rangkaian pembekalan dan pengedaran, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dalang serta individu lain yang terbabit.
“Siasatan mendapati bekalan barangan bagi beberapa premis dipercayai diperoleh daripada pembekal tempatan dan luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan.
“Apa yang lebih membimbangkan, terdapat premis yang dipercayai sudah menjalankan kegiatan perniagaan berkenaan sejak dua hingga 16 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, polis kini mempergiat usaha mengesan keseluruhan rangkaian sindiket termasuk pembekal, pengimport, penyimpan dan pengedar yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Menurutnya, selain serbuan di Penampang, Op Taring Alpha 2 turut membongkar kegiatan penyimpanan minuman keras di Manggatal pada 22 Oktober lalu dengan rampasan 1,485 botol kaca bernilai RM742,500.

Katanya, operasi kedua di Tamparuli pada 26 Oktober pula membawa kepada rampasan 22,320 tin minuman keras pelbagai jenama serta tiga lori dengan nilai keseluruhan RM1.48 juta.
“Secara keseluruhannya, tiga siri serbuan menerusi Op Taring Alpha 2 berjaya merekodkan nilai rampasan RM16.20 juta.
“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan risikan dan tindakan penguatkuasaan dalam membanteras kegiatan penyimpanan serta pengedaran minuman keras yang disyaki tidak bercukai kastam,” katanya. – Info X