Produk makanan, kosmetik bernilai lebih RM675,000 dirampas

November 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pelbagai produk makanan, kesihatan dan kosmetik yang dipercayai tidak mematuhi keperluan perundangan bernilai lebih RM675,000 dirampas dalam tiga siri serbuan di sekitar bandar raya ini dan Putatan, bulan lalu.

Rampasan menerusi Op Taring Alpha 5 itu membabitkan premis di sebuah pusat beli beli di bandar raya ini, Inanam dan Putatan dalam operasi yang dilaksanakan pada 22 dan 23 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan pertama di Centre Point Sabah berjaya merampas 577 produk makanan proses dan sejuk beku serta 251 produk kesihatan dan kosmetik yang dipercayai berasal dari Filipina.

Katanya, keseluruhan rampasan dalam serbuan pada 22 Oktober itu dianggarkan bernilai RM262,800.

“Pada hari sama, operasi di Inanam pula membawa kepada rampasan 526 paket produk makanan sejuk beku dan 313 unit produk kesihatan serta kosmetik bernilai RM192,312.

“Serbuan ketiga di Putatan pada 23 Oktober pula berjaya merampas pelbagai produk makanan proses dengan nilai keseluruhan RM220,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Mess Pegawai Ibu Pejabat Briged Sabah, PGA Kinarut, di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, dalam serbuan di Putatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) merampas 2,007 produk makanan proses, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 14,000 paket pelbagai produk makanan proses.

Katanya, keseluruhan tiga siri operasi berkenaan merekodkan rampasan bernilai RM675,112.

“Siasatan awal mendapati premis yang diserbu dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara, penjualan dan pengedaran produk berkenaan.

“Bekalan barangan bagi beberapa premis juga dipercayai diperoleh daripada pembekal tempatan dan luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, semua barangan yang dirampas diserahkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan khususnya KKM dan DVS untuk pemeriksaan, pengesahan, analisis serta tindakan lanjut.

Katanya, operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman dengan kerjasama beberapa agensi termasuk polis daerah, Pasukan Polis Marin (PPM), KKM, DVS dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

“Polis akan terus mempergiat risikan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyimpanan serta pengedaran barangan yang menyalahi undang-undang,” katanya. – Info X