KOTA KINABALU: Polis menahan tujuh lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang maut ditikam di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, di sini, Sabtu lalu.
Semua lelaki berusia antara 18 hingga lingkungan 30-an itu ditahan dalam beberapa tangkapan yang dijalankan di sekitar Manggatal, Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, tangkapan berkenaan dibuat susulan siasatan lanjut berhubung kejadian bunuh yang berlaku pada awal pagi 14 November lalu.
Katanya, polis masih giat menjalankan usaha mengesan suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Setakat ini, tujuh lelaki warga tempatan sudah ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Bagaimanapun, usaha mengesan suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shahrudin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau melihat individu yang disyaki terbabit dalam kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 31 tahun maut selepas ditikam ketika dipercayai cuba menghalang suspek daripada mengejar seorang penjual makanan di sebuah kafe berhampiran lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan akibat tikaman sebelum dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas oleh abangnya.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital kira-kira jam 6 pagi.
Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan seorang penjual makanan sebelum mangsa cuba meleraikan pertelingkahan berkenaan, namun akhirnya maut selepas ditikam. – Info X