Shafie mahu PAC siasat pemilihan BHPSB sebagai PDP Pan Borneo Sabah

November 16, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat pemilihan syarikat Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHPSB) sebagai rakan penyampai projek (PDP), Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sebelum kaedah itu ditamatkan pada 2018.

Bekas Ketua Menteri itu berkata PAC boleh mendapatkan dokumen yang tidak dapat diperoleh orang awam bagi menjelaskan bagaimana BHPSB dipilih sebagai PDP pada 2016.

“Saya tidak mendakwa sesiapa melakukan kesalahan. Tetapi PAC boleh mendapatkan dokumen yang tidak dapat diperoleh orang awam.

“Saya mohon PAC menjelaskan bagaimana BHPSB dipilih sebagai PDP pada 2016, adakah melalui tender terbuka, siapa mengesyorkan dan apa kriterianya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kenyataan Ahli Parlimen Semporna itu menyusul selepas Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali meminta PAC meluaskan siasatan berkaitan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah susulan Laporan Ketua Audit Negara 2/2026, merangkumi asas dan implikasi penamatan PDP serta memanggil kontraktor yang terkesan.

Shafie juga mahu PAC mendedahkan pemilik benefisial, semua pengarah dan pemegang saham BHPSB sepanjang 2016-2019, termasuk sama ada terdapat pemimpin parti politik atau penyandang jawatan awam.

Katanya, PAC juga perlu menyemak urusan pihak berkaitan, termasuk sama ada mana-mana perunding atau subkontraktor yang menerima sebahagian RM448.36 juta bayaran perunding mempunyai kaitan dengan pengarah atau pemegang saham PDP.

Shafie mendakwa, struktur PDP dan siapa di sebaliknya sudah dilaporkan secara terbuka sejak 2016 yang mana ketika dilantik pada April 2016, BHPSB dimiliki 60 peratus oleh Warisan Tarang Construction Sdn Bhd, manakala 40 peratus oleh usaha sama UEM–MMC seperti dilaporkan The Edge pada 12 April 2016.

“Pengarah Urusannya ialah Shahelmey Yahya. The Edge (April 2016) melaporkan beliau ketika itu
Naib Pengerusi Pemuda UMNO dan salah seorang pengarah Warisan Tarang. Pada April 2024 beliau menafikan memiliki PDP dan menyatakan beliau hanya makan gaji sebagai pengarah urusan pada 2016–2018.

“The Edge (Mac 2019) melaporkan Warisan Tarang ‘dipercayai dikaitkan’ dengan UMNO Sabah dan bekas Ketua Menteri. Pada Januari 2020 saya telah menyatakan bahawa PDP tidak wajar dikendalikan oleh ahli politik. Pendirian itu tidak berubah,” katanya.

Shafie berkata, beliau mengalu-alukan gesaan Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengenai peluasan siasatan PAC berkaitan penamatan PDP Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Tegasnya, rakyat Sabah mahu jawapan yang menyeluruh dan bukannya dipilih-pilih.

Beliau memperincikan skop yang wajar dan lebih menyeluruh untuk dimasukkan dalam siasatan PAC, termasuk berkaitan asas keputusan Jemaah Menteri Persekutuan pada 19 Disember 2018 menamatkan model PDP dan kesannya.

Shafie juga mahu PAC menyiasat RM700.99 juta yang dibayar kepada PDP serta Settlement Sum RM155 juta yang dipersetujui Jemaah Menteri selepas penamatan.

Katanya, siasatan juga perlu menumpukan pemilihan kontraktor oleh PDP untuk semua pakej.

“Laporan Ketua Audit 2019 mendapati bagi WP21 Lahad Datu Bypass, kesemua 10 petender tidak memenuhi sekurang-kurangnya satu syarat kelayakan minimum dan kontraktor yang dipilih tiada pengalaman membina jalan. Justeru, terdapat keperluan untuk PAC menyiasat pakej-pakej lain yang diberikan oleh PDP.

“Kontraktor yang dilantiknya juga wajar disiasat. Jika pelantikan atau prestasi mereka bermasalah, mengapa ada yang dikekalkan atau dilantik semula selepas penamatan PDP? PAC perlu meneliti keputusan tersebut dan pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Shafie juga mahu PAC menyiasat mengenai pembiayaan projek itu, sama ada kaedah yang sama digunakan di Sabah dan Sarawak, memandangkan di negeri jiran, Projek Pan Borneo Sarawak dibiayai sebahagian besarnya melalui DanaInfra.

Selain itu, Shafie juga mahu PAC menyiasat mengenai pelaksanaan 19 pakej kerja yang bermula sebelum kelulusan EIA dan kehilangan data 77,299 fail projek.

“PAC perlu memanggil bukan sahaja kementerian dan jabatan, tetapi juga PDP, kontraktor dan perunding,” katanya. – Info X