TAWAU: Taktik seorang lelaki warga asing menggunakan nombor pendaftaran berbeza pada sebuah motosikal curi terbongkar selepas dia ditahan polis di Jalan Kausing Baru, di sini, petang semalam.
Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang ketika berada di atas motosikal jenis Yamaha 135LC di hadapan sebuah rumah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Polis Strike Team Balai Polis Tawau ketika menjalankan rondaan cegah jenayah.
Katanya, pasukan polis bertindak atas maklumat sebelum mengesan suspek bersama motosikal berkenaan.
“Hasil pemeriksaan dan semakan nombor casis melalui sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mendapati motosikal itu mempunyai rekod dilaporkan hilang.
“Suspek kemudian ditahan bersama motosikal berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.
Rosdi berkata, siasatan mendapati motosikal terbabit dilaporkan hilang di kawasan parkir belakang Eastern Plaza, di sini, pada 14 Oktober lalu.
Katanya, laporan polis dibuat seorang wanita tempatan berusia 22 tahun pada 15 Oktober selepas mendapati motosikal milik abang iparnya hilang.
“Semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Suspek bersama motosikal yang dirampas dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.
Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan mencuri atau memiliki kenderaan curi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan ketika meletakkan kenderaan bagi mengelakkan kejadian kecurian.
“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah juga diminta tampil menyalurkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X