SANDAKAN: Polis menahan 11 lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di Pasar Bandar Ramai-Ramai, di sini, malam tadi.
Semua suspek berusia antara 15 hingga 46 tahun itu terdiri daripada lima warga tempatan dan enam warga Filipina yang ditahan susulan kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai pergaduhan yang dipercayai membabitkan penggunaan senjata tajam menerusi talian kecemasan kira-kira jam 7.36 malam.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan kemudian menjalankan siasatan sebelum menahan semua suspek yang dipercayai terbabit.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan lelaki yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam hari sama.
“Perselisihan faham itu kemudian berlarutan sehingga mencetuskan satu lagi pergaduhan pada sebelah malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
George berkata, kejadian berkenaan turut dirakam dan video pergaduhan itu tular di media sosial.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan sebarang perselisihan faham, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Selain itu, masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung video tular berkenaan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham serta mengganggu siasatan polis,” katanya. – Info X