Op Padu bongkar rangkaian pengedar produk kesihatan haram, rampasan RM500,000

November 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lebih 53,000 produk farmaseutikal dan kosmetik disyaki tidak mematuhi peraturan bernilai kira-kira RM500,000 dirampas dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (Op Padu) di 11 premis sekitar Sabah, hari ini.

Rampasan itu adalah yang terbesar di Sabah sepanjang tahun ini hasil operasi menyasarkan rangkaian pengedar produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Asniza Alias berkata, operasi berkenaan dilaksanakan selepas hampir enam bulan pemantauan dan risikan terhadap pembekal serta penjual produk terbabit.

Katanya, sebanyak 27,910 produk farmaseutikal disyaki tidak berdaftar dirampas, selain 2,663 produk disyaki mengandungi racun berjadual dan 23,101 produk kosmetik disyaki tidak bernotifikasi.

“Antara produk dirampas termasuk antibiotik, ubat antikulat, ubat penahan sakit, pil perancang keluarga serta produk disyaki mengandungi hidrokuinon dan steroid.

“Penggunaan produk ini tanpa pengawasan doktor atau ahli farmasi boleh menyebabkan kesan sampingan termasuk kerosakan buah pinggang, ketidakseimbangan hormon, pendarahan usus dan kerintangan antibiotik,” katanya pada sidang media, hari ini.

Asniza berkata, operasi itu membabitkan 60 anggota penguat kuasa farmasi dari seluruh negara bersama kira-kira 50 anggota daripada enam agensi penguatkuasaan lain.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta bagaimana produk berkenaan memasuki pasaran Sabah.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya memastikan produk farmaseutikal mempunyai nombor pendaftaran MAL dan hologram keselamatan Farmatag, manakala kosmetik perlu mempunyai notifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Orang ramai juga dinasihatkan menyemak status produk melalui aplikasi MyUbat atau laman sesawang Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum membuat pembelian,” katanya. – Info X