KUALA LUMPUR: Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 individu ditahan selepas polis membongkar sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai menggunakan aset tentera untuk menyeludup syabu dari Semenanjung Malaysia ke Sabah.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak Julai lalu itu menjadikan Sabah sebagai lokasi transit sebelum bekalan dadah diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.
Kegiatan berkenaan terbongkar menerusi beberapa siri operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sekitar Lembah Klang dan Labuan, pada 17 November lalu.
Operasi hasil kerjasama risikan strategik JSJN Bukit Aman bersama Cawangan Provos Marsyal TUDM itu membawa kepada penahanan lima pegawai tentera berkenaan dan enam orang awam.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram syabu bernilai RM4.83 juta selain 6.98 kilogram cecair bahan kimia.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai mengeksploitasi kemudahan pengangkutan udara ketenteraan bagi menjalankan kegiatan penyeludupan dadah.
“Risikan mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak Julai 2026 dengan menggunakan kemudahan penerbangan TUDM untuk membawa dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah.
“Bekalan dadah itu kemudian dipercayai diedarkan ke pasaran antarabangsa khususnya Filipina dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Hussein berkata, siasatan lanjut mendapati dua daripada enam orang awam yang ditahan dipercayai bertindak sebagai koordinator bagi mengatur dan menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.
Menurutnya, polis kini giat mengesan seorang lagi lelaki warga Malaysia yang dipercayai menjadi ketua sindiket terbabit.
“Usaha mengesan individu berkenaan sedang dijalankan bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi sindiket serta mengenal pasti pihak lain yang mungkin terbabit.
“Modus operandi ini memperlihatkan bagaimana sindiket mengeksploitasi kemudahan strategik kerajaan dan memperalatkan individu yang mempunyai akses serta kedudukan tertentu bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, semua lima pegawai TUDM yang ditahan direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November ini bagi membantu siasatan.
Sementara itu, enam individu awam yang ditahan pula direman antara dua hingga lima hari.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati dua individu awam positif methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Rampasan syabu berkenaan dianggarkan mampu menjejaskan seramai 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan ke pasaran.
“Polis turut menyita tiga kenderaan iaitu Honda CR-V, Toyota Vios dan Toyota Land Cruiser bernilai keseluruhan RM172,062 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.
Hussein berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Menurutnya, JSJN memandang serius sebarang penyalahgunaan kedudukan, kuasa atau kemudahan rasmi untuk kepentingan jenayah kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan integriti institusi keselamatan negara.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah tanpa mengira pangkat, jawatan, kedudukan atau organisasi yang diwakili.
“Tiada individu yang kebal daripada undang-undang dan tiada sindiket yang terlalu berpengaruh untuk ditumpaskan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TUDM khususnya Cawangan Provos Marsyal atas kerjasama yang membawa kepada kejayaan operasi berkenaan.
Katanya, JSJN akan terus memperkukuh kerjasama risikan dan penguatkuasaan bagi menumpaskan dalang utama, memutuskan rangkaian pengedaran serta melumpuhkan sumber kewangan sindiket dadah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah boleh menyalurkannya menerusi Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya. – Info X