Premis kedai diubah suai jadi bilik sewa, satu unit ada hingga 10 bilik

November 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah premis kedai pejabat yang sepatutnya digunakan untuk urusan perniagaan diubah suai menjadi tempat penginapan dengan menempatkan sehingga 10 bilik sewa dalam satu unit, sekali gus mengundang risiko kebakaran kepada penghuninya.

Lebih membimbangkan, bilik berkenaan dibina menggunakan bahan mudah terbakar seperti papan lapis, selain laluan keluar yang terlalu sempit sehingga menyukarkan penghuni menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.

Perkara itu dikesan menerusi Operasi Asrama Selamat yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.

Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, operasi bersepadu membabitkan kira-kira 51 pegawai dan anggota itu memeriksa dua blok bangunan merangkumi enam unit premis yang dijadikan tempat penginapan.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat premis yang diubah suai secara tidak sah dengan membina antara lapan hingga 10 bilik dalam satu unit tanpa mengambil kira aspek keselamatan kebakaran.

“Antara penemuan utama ialah pengubahsuaian yang menyalahi undang-undang sehingga menyebabkan laluan untuk menyelamatkan diri menjadi sukar, khususnya apabila berlaku kebakaran.

“Kita juga mendapati dinding pemisah bilik dibina menggunakan bahan mudah terbakar seperti papan lapis, manakala ruang laluan keluar terlalu sempit dan tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Mohd Pisar berkata, pemeriksaan turut mendapati beberapa premis tidak menyediakan kelengkapan asas keselamatan kebakaran termasuk lampu kecemasan dan alat pemadam api mudah alih.

Katanya, keadaan pendawaian elektrik di premis terbabit juga membimbangkan, lebih-lebih lagi dengan penggunaan pelbagai peralatan elektrik termasuk penghawa dingin.

“Malah, kita turut menemui peralatan memasak elektrik dan barangan keperluan memasak yang disimpan di bawah katil, menunjukkan terdapat aktiviti memasak dilakukan dalam bilik penginapan.

“Keadaan ini sangat berisiko kerana kebakaran boleh berpunca daripada pendawaian yang tidak terurus atau penggunaan peralatan elektrik secara berlebihan,” katanya.

Menurutnya, keadaan lebih membimbangkan apabila pemeriksaan mendapati terdapat penghuni yang sedang tidur ketika pasukan penguat kuasa memasuki bilik berkenaan.

“Bayangkan sekiranya kebakaran berlaku ketika penghuni sedang tidur nyenyak. Asap boleh memenuhi ruang bilik dengan cepat dan mereka mungkin tidak sempat menyelamatkan diri.

“Sebab itu kita mahu pengusaha premis memikirkan keselamatan penghuni, bukan hanya menyediakan bilik untuk disewakan,” katanya.

Beliau berkata, kadar sewaan yang dikenakan juga agak tinggi iaitu antara RM250 hingga RM400 bagi satu katil, dengan kebanyakan bilik menempatkan dua katil.

Katanya, setiap pengubahsuaian premis perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan semua keperluan keselamatan dipatuhi.

Sehubungan itu, Mohd Pisar berkata, JBPM Sabah akan mengeluarkan notis penghapusan bahaya kebakaran mengikut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) terhadap premis yang dikenal pasti mempunyai pelanggaran keperluan keselamatan.

“Notis akan dikeluarkan bagi memastikan pemilik atau pengusaha mengambil tindakan menghapuskan bahaya kebakaran serta memenuhi keperluan keselamatan yang ditetapkan.

“Operasi ini tidak terhenti di sini, sebaliknya akan diteruskan di kawasan lain bagi memastikan keselamatan penghuni sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, operasi hari ini adalah siri kedua selepas pemeriksaan seumpamanya dilaksanakan pada Februari lalu di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

Katanya, siri operasi seterusnya akan diteruskan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pencegahan dan keselamatan kebakaran.

“Keutamaan kita bukan sahaja mengelakkan kemusnahan harta benda akibat kebakaran, tetapi lebih penting memastikan keselamatan nyawa penghuni sentiasa terjamin,” katanya. – Info X