Mustapha puji jiwa besar Hajiji satukan rakan berbeza pandangan politik

November 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud memuji kesediaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meneruskan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan PH dan Barisan Nasional (BN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) itu menyifatkan tindakan Hajiji itu sebagai mencerminkan jiwa besar beliau dalam menyatukan rakan yang berbeza pandangan politik.

Katanya, penerusan kerjasama itu juga dilihat sebagai bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam mengutamakan kepentingan rakyat Sabah.

“Pendirian ini menunjukkan bahawa kepentingan rakyat Sabah tetap menjadi keutamaan walaupun dalam kerencaman politik yang semakin dinamik,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mustapha mengulas kenyataan Hajiji mengenai pendirian GRS yang menyatakan untuk meneruskan kerjasama dengan BN, PH dan parti lain demi kestabilan politik negeri ini.

Ahli Parlimen Sepanggar itu, berkata PH Sabah menyokong pendirian itu atas kepentingan kestabilan politik untuk kesinambungan pembangunan yang dirancang kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Kestabilan ini membolehkan kerajaan Sabah dan Persekutuan meneruskan usaha menyampaikan projek dan perkhidmatan yang rakyat perlukan.

“Keutamaan kita adalah untuk memastikan bekalan air dan elektrik lebih terjamin, jalan raya dibaiki dan projek tebatan banjir siap mengikut jadual,” katanya.

Katanya, kerjasama Kerajaan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi impak yang positif kepada Sabah.

Beliau berkata, ia termasuk pemberian khas interim Sabah bagi 2026 yang dinaikkan kepada RM1.5 bilion, manakala hak 40 peratus hasil Sabah tetap diperakui untuk diselesaikan mengikut peruntukan perlembagaan. – Info X