KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar luka di kepala hingga terpaksa menerima jahitan selepas tergelincir di tanda Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.
Beliau yang dalam perjalanan balik dari lawatan kerja di Brazil, berkongsi insiden yang dialaminya itu di akaun Facebook selepas ada rakan melihatnya dengan tuala berdarah di kepala.
“Ada kawan-kawan yang nampak saya di KLIA dengan tuala berdarah menutupi kepala pagi tadi, Whatsapp dan call tanya apa yang berlaku.
“Sebenarnya berlaku kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA.
“Permukaan tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhentak ke lantai. Terima kasih doktor dan jururawat yang bertugas di Menara Medical Clinics KLIA yang merawat dan menjahit luka tadi,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook.

ADUN Melalap itu berkata, beliau juga menasihatkan pegawai dan kakitangan Malaysia Airport supaya melaksanakan kerja penambahbaikan permukaan tandas dan perlunya disediakan laluan kecemasan ke Klinik berhampiran KLIA.
Katanya, latihan juga harus diberikan kepada kakitangan agar langkah-langkah awal rawatan kecemasan dapat dilaksanakan.
Jamawi berkata, ketika kejadian, beliau sedang menunggu penerbangan ke Kota Kinabalu yang dijadualkan paa jam 1.05 tengah hari tadi selepas melalui perjalanan panjang dari Brasilia – Sao Paulo – Doha – KLIA.
“Terima kasih bertanya khabar kepada Tan Sri Anuar Musa dan Datuk Yusof Apdal dan rakan-rakan yang lain yang kebetulan nampak saya di KLIA pagi tadi..amat menghargainya,” katanya. – Info X