Enam nelayan ditahan, parang panjang dan besi paip dirampas

November 24, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Enam lelaki termasuk lima warga asing ditahan selepas polis menemukan sebilah parang panjang dan sebatang besi paip di dalam kereta dinaiki mereka di kawasan bandar, di sini, awal pagi tadi.

Semua lelaki berusia antara 19 hingga 37 tahun yang bekerja sebagai nelayan itu ditahan ketika polis menjalankan rondaan cegah jenayah kira-kira jam 2.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Balai Polis Tawau selepas mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, anggota bertugas kemudian menahan kenderaan terbabit untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebilah parang panjang termasuk hulu dan bersarung serta sebatang besi paip bulat yang disimpan di bawah tempat duduk pemandu.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati seorang daripada enam lelaki di dalam kenderaan itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosdi berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan lima warga asing berusia antara 19 hingga 37 tahun.

Katanya, semua lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama kenderaan dan barang rampasan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Menurutnya, polis akan terus mempergiat rondaan dan pemeriksaan bagi membendung sebarang kegiatan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang, tidak membawa atau menyimpan senjata berbahaya tanpa kebenaran serta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan,” katanya. – Info X