KOTA KINABALU: Tiga syor penambahbaikan tatakelola dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah bagi memperkemas pengurusan kontrak memajak dan mengutip sarang burung di Gua Gomantong, di bawah seliaan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah membentangkan kesemua syor berkenaan di Ibu Pejabat JHL Sabah, di sini, semalam.
SPRM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, syor dikemukakan menerusi Cawangan Penyiasatan Tatakelola itu membabitkan penambahbaikan amalan, sistem dan tatacara kerja berkaitan pengurusan kontrak berkenaan.
“Syor pertama ialah mewujudkan garis panduan jawatankuasa penilaian harga yang digunapakai oleh jabatan dalam proses penilaian tender dan carta alir bagi setiap peringkat atau tahap kerja di dalam jawatankuasa penilaian harga tender,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, katanya penambahbaikan turut membabitkan aspek pelantikan ahli jawatankuasa penilaian harga tender bagi memastikan skop tugasan setiap ahli diperincikan.
“Manakala syor ketiga ialah mewujudkan surat lantikan ahli jawatankuasa penilaian harga tender yang menerangkan dengan jelas peranan serta tanggungjawab ahli yang dilantik dengan memperincikan tugasan yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, JHL Sabah menyambut baik kesemua syor berkenaan dalam usaha memperkukuh tatakelola pengurusan kontrak terbabit.
Komitmen itu dizahirkan menerusi majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar dan Mohd Fuad.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Alexander S Kunghi; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham; Timbalan Pengarah 2 JHL Sabah, Sailun Aris. – Info X