KOTA KINABALU: Kerajaan negeri konsisten dengan pendirian untuk mengekalkan had umur belia di Sabah sehingga mencapai umur 40 tahun.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata keputusan Kabinet negeri itu mengambil kira beberapa aspek yang berkaitan.
Antaranya, beliau berkata realiti geografi dan sosioekonomi Sabah, khususnya akses belia di luar bandar dan pedalaman kepada latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan program pembangunan.
“Golongan berusia 31 hingga 40 tahun masih memerlukan akses kepada peluang ini dan mempunyai pengalaman yang boleh disumbangkan kepada komuniti masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kenyataan itu berkaitan hasil persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang IV, Penggal Ke-35, Sesi 2025–2026 di Putrajaya, yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari pada Selasa.
Nizam berkata, pendirian had umur belia itu akan diterjemahkan melalui cadangan Enakmen Pembangunan Belia Sabah yang sedang dirangka untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
“Cadangan enakmen ini juga bertujuan memperkukuh pengurusan pertubuhan belia dan menyediakan asas yang lebih tersusun untuk pembangunan belia di Sabah,” katanya.
Katanya persidangan itu turut memberi perhatian terhadap isu tambang penerbangan yang tinggi bagi perjalanan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.
“Bagi anak muda yang perlu terbang untuk mengikuti pengajian, latihan, program atau urusan rasmi, harga tiket boleh menentukan sama ada mereka mampu mengambil peluang tersebut.
“Atas sebab itu, cadangan kadar tambang khas untuk belia merupakan antara lima usul yang dibangkitkan pada persidangan MPBN peringkat Sabah.
“Usul ini telah dipertimbangkan dengan teliti. Kementerian saya akan membuat susulan dengan pihak berkaitan di peringkat Persekutuan untuk meneliti langkah yang praktikal bagi mengurangkan beban tambang, termasuk cadangan kadar khas untuk belia,” katanya.
Persidangan itu, katanya turut membincangkan keselamatan digital, kemudahan penjagaan anak untuk keluarga muda dan cadangan hab pembangunan belia di setiap daerah.
Bagi Sabah, katanya akses perlu menjadi pertimbangan utama dalam merancang hab berkenaan, antaranya lokasi dan programnya perlu mengambil kira jarak perjalanan serta keperluan belia setempat supaya kemudahan itu dapat dimanfaatkan anak muda di bandar, luar bandar dan pedalaman.
Persidangan itu, katanya memberi ruang kepada wakil belia dan kerajaan untuk membincangkan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan anak muda. – Info X