Menara T313 tumbang, dua litar penghantaran elektrik terjejas punca gangguan di pantai timur

November 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua litar talian penghantaran elektrik terjejas selepas menara penghantaran elektrik T313 tumbang di Ranau, awal pagi tadi.

Perkembangan itu dikongsikan Sabah Electricity menerusi Facebook Sabah Electricity Careline yang menyatakan ia sebagai punca utama gangguan bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah.

Katanya, pasukan teknikal Sabah Electricity menjalankan penilaian menyeluruh di lokasi bagi mengenal pasti punca kejadian serta menentukan kaedah pemulihan yang paling cepat, berkesan dan selamat.

“Dalam masa yang sama, set janakuasa bergerak (genset) kini dalam perjalanan ke kawasan terjejas sebagai langkah alternatif bagi membantu pemulihan bekalan elektrik.

“Segala sumber, aset dan tenaga kerja terus digerakkan dengan keutamaan untuk mempercepatkan pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas.

“Sabah Electricity amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh para pengguna ketika ini dan dengan penuh rasa tanggungjawab memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami.

“Perkembangan terkini akan terus dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi Sabah Electricity,” katanya. – Info X