122 PATI ditahan dalam 15 operasi di Sabah

November 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 122 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 35 kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi 15 operasi penguatkuasaan di seluruh negeri dalam tempoh seminggu.

Semua warga asing terbabit ditahan hasil pemeriksaan terhadap 333 individu di beberapa lokasi strategik sepanjang operasi bermula 20 November hingga semalam.

JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan, warga Filipina mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 91 orang, diikuti Indonesia (29) dan Pakistan (dua).

“Tangkapan membabitkan warga Filipina terdiri daripada 24 lelaki dan 37 wanita dewasa serta 18 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan.

“Bagi warga Indonesia pula, tangkapan membabitkan tujuh lelaki dan 17 wanita dewasa serta lima kanak-kanak, manakala dua lagi adalah lelaki warga Pakistan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di seluruh negeri dalam usaha membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.

Pada masa sama, katanya orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan PATI boleh menyalurkannya menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di https://eapp.imi.gov.my,” katanya. – Info X