KOTA KINABALU: Seramai 480 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 46 kanak-kanak dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi tiga program pemindahan melalui laluan laut dan udara yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.
Pemindahan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan tahanan PATI yang dihantar pulang dari Sabah meningkat kepada 10,498 orang menerusi 221 siri pemindahan sejak awal tahun ini.
JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pemindahan terbaharu itu membabitkan 419 warga Filipina, 50 warga Indonesia, 10 warga Pakistan dan seorang warga Taiwan.

“Pemindahan pertama membabitkan 419 warga Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau yang dihantar pulang menerusi Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
“Kumpulan tahanan berusia antara lima bulan hingga 62 tahun itu terdiri daripada 273 lelaki dan 102 wanita dewasa serta 44 kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya lagi, pemindahan kedua pula membabitkan 50 warga Indonesia dari Depot Imigresen Kota Kinabalu yang dihantar pulang menerusi Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.
“Mereka terdiri daripada 36 lelaki dan 12 wanita dewasa serta dua kanak-kanak perempuan yang turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
“Pemindahan ketiga membabitkan 10 lelaki warga Pakistan dan seorang wanita warga Taiwan dari Depot Imigresen Sandakan melalui laluan udara.

“Mereka dihantar menerusi Lapangan Terbang Sandakan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke negara asal masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, JIM Sabah mengharapkan kerjasama Kedutaan Filipina dan Indonesia bagi mempercepatkan proses pengesahan serta pengeluaran dokumen perjalanan kepada tahanan supaya penghantaran pulang dapat dilaksanakan segera dan mengikut perancangan.
JIM Sabah akan terus komited memastikan setiap urusan pemindahan tahanan ke negara asal dilaksanakan secara teratur, selamat serta mematuhi prosedur dan peraturan imigresen yang berkuat kuasa. – Info X