Enam sekeluarga dipindahkan akibat banjir di Sook

November 27, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Enam sekeluarga termasuk empat kanak-kanak perempuan dipindahkan ke Gereja SIB Rancangan Belia Tiulon selepas kediaman mereka terjejas banjir di Blok A, Rancangan Belia Tiulon, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 8.51 pagi sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi.

Katanya, pasukan bomba tiba pada jam 9.05 pagi dan menjalankan operasi pemindahan menggunakan sebuah bot penyelamat.

“Seramai enam mangsa daripada satu Ketua Isi Rumah (KIR), terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan empat kanak-kanak perempuan berjaya dipindahkan dengan selamat ke Gereja SIB Rancangan Belia Tiulon.

“Pasukan bomba turut menjalankan pemantauan di kawasan terjejas dan mendapati paras air banjir semakin surut,” katanya.

Menurutnya, iperasi membabitkan tujuh anggota BBP Sook dengan bantuan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.05 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan terkawal,” katanya. – Info X