KOTA KINABALU: Pengguna di pantai timur masih menerima bekalan elektrik sedia ada menerusi janaan tenaga dari loji janakuasa sedia ada di kawasan itu dan set janakuasa mudah alih yang digerakkan Sabah Electricity selepas terputus bekalan melalui grid Sabah sejak Khamis lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelan kecemasan yang dilaksanakan Sabah Electricity memastikan bekalan elektrik sementara dapat disalurkan kepada penduduk sehingga talian grid Sabah dipulihkan semula.
“Sekarang Sabah Electricity mengerakkan pelan kecemasan dengan menggunakan set janakuasa yang ada di pantai timur.
“Jadi pengguna di sana dapat sudah bekalan, bukan semua tidak dapat. Mungkin ada setengah tempat saja yang tidak dapat.
“Jadi saya harap rakyat kita faham. InsyaAllah kita akan selesaikan dalam masa enam hari untuk kembali seperti biasa,” katanya ditemui pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Sabtu.
Beliau diminta mengulas situasi bekalan elektrik di pantai timur yang dilapor menjejaskan penduduk di kawasan itu selepas sebuah menara penghantaran elektrik Kolopis-Segaliud tumbang akibat hakisan tebing Sungai Liwagu di Ranau pada Khamis lalu.
Insiden itu menyebabkan bekalan elektrik melalui sistem grid Sabah ke pantai timur terputus sepenuhnya dan mengambil masa enam hari sehingga 2 Disember ini untuk sistem grid dipulihkan semula, seperti dijelaskan Sabah Electricity.
Hajiji berkata, beliau sudah diberi taklimat dan makluman oleh Sabah Elektrik mengenai insiden itu dan situasi yang berlaku di pantai timur ketika ini.
Katanya, petugas Sabah Electricity sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah itu dan menyambung kembali bekalan elektrik secara normal ke pantai timur.
“Sekarangpun mereka sudah dapat bekalan, tetapi menara itu dijangka siap dalam masa enam hari. Jadi sekarang mereka menggunakan reserve (janakuasa) yang lain di sana.
“Saya dimaklumkan keadaan kini bertambah baik dan mungkin ada sedikit-sedikit saja yang kekurangan bekalan tetapi pihak Sabah Elektrik akan cuba menyelesaikan sebaik mungkin untuk rakyat kita di pantai timur,” katanya.
Beliau turut mengakui dukacita dengan situasi yang terpaksa dialami penduduk di pantai timur berikutan gangguan bekalan yang berlaku di sana.
Berdasarkan taklimat Sabah Electricity kepada media pada Khamis lalu, syarikat utiliti itu berjaya mengaktifkan sistem grid pantai timur dengan menggabungkan bekalan tenaga yang dijana menerusi janakuasa sedia ada di Sandakan dan Tawau.
Usaha itu ditambah dengan pengoperasian janakuasa mudah alih yang digerakkan ke semua lokasi terjejas dan pelaksanaan catuan bekalan bagi memastikan lebih 150,000 pengguna di seluruh pantai timur menerima bekalan secara bergilir. – Info X