KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif memaklumkan dirinya bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas tindakan meninggalkan Parti Warisan (Warisan), baru-baru ini.
Ia berikutan selepas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa Norazlinah menerima imbuhan untuk menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM sekiranya beliau (Mohd Shafie) ada bukti kukuh, sebelum ini, saya sudah beberapa kali menafikan.
“Oleh itu, saya berani bertindak untuk membuat laporan polis kerana difitnah, saya keluar Warisan dengan rela hati kerana tidak lagi setuju dengan hala tuju parti yang tidak konsisten. Jika ada bukti, minta dilaporkan secara rasmi kepada SPRM.
“Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci. Jangan heret ADUN serta parti ke kancah perebutan kuasa,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Norazlinah menyatakan tindakan Warisan yang sejak akhir ini enggan menyatakan sokongan seperti dijanjikan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga berlaku insiden Langkah Kinabalu disifatkan suatu perkara yang tidak sihat untuk Sabah.
Menurutnya, keadaan polemik politik perlu berakhir agar semua ADUN diberikan peluang untuk menjalankan tugas serta memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing. – Info X