Search

AIM BANTU USAHAWAN WANITA BERHADAPAN ISU MUFLIS

February 20, 2023

admin

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) salah satu agensi di bawah kementerian menyediakan pembiayaan kepada usahawan wanita termasuk mereka diisytiharkan muflis.

“AIM memberikan pembiayaan kepada semua usahawan wanita tanpa melihat latar belakang sama ada mereka berhadapan isu muflis atau sebaliknya.

“Kita telah memberikan pembiayaan kepada mereka yang memang ada isu bankrap bagi membantu mereka meneruskan perniagaan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di ibu negara, hari ini.

Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang bertanya usaha kementerian untuk merapatkan jurang di antara usahwan wanita bandar dan luar bandar, Ewon berkata, AIM dan Tekun Nasional iaitu agensi di bawah kementerian akan terus melaksanakan program-program pembangunan keusahawanan.

“Kita tahu bahawa golongan usahawan wanita ini adalah pembayar hutang terbaik sebab itu kita menghargai sumbangan dan peranan mereka.

“Yakinlah bahawa dalam belanjawan yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, kita berharap peruntukan yang lebih besar disalurkan kepada AIM dan Tekun Nasional untuk kita menjayakan pogram pembangunan usahawan wanita termasuk wanita luar bandar teristimewa di Sabah dan Sarawak,” katanya. – Info X