Search

SHAHELMEY : SAYA SUDAH DIPANGGIL LEMBAGA DISIPLIN UMNO

February 25, 2023

admin

PUTATAN: “Saya, semalam adalah salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah yang dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk membuat pembelaan atas pertuduhan yang telah dinyatakan.

“Bagaimanapun, kita hanya berserah kapada Lembaga Disiplin untuk membuat keputusan.

“Selepas semalam, barulah mereka akan membuat keputusan secara rasmi. “Saya tidak boleh mendahului keputusan yang dibuat Lembaga Disiplin. Oleh itu, kita tunggu sahajalah tindakan yang akan diberikan,” kata ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang memaklumkan dirinya sudah dipanggil bertemu Lembaga Disiplin UMNO, semalam.

Shahelmey berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Karnival Perpaduan Komuniti Gerak Rahmah Jom Sihat Daerah Putatan 2023 di perkarangan Dewan Sri Putatan, di sini, hari ini.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, beliau adalah antara lima ADUN UMNO Sabah yang sebelum ini menerima surat tatatertib ekoran menyatakan sokongan secara terbuka kepada Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri.

Empat ADUN UMNO lain yang turut dipanggil Lembaga Disiplin ekoran tidak menyokong tindakan UMNO Sabah ialah ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan empat ADUN sama yang mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Shahelmey yang turut memegang jawatan Ahli Parlimen Putatan menyatakan perkara berkenaan adalah hak individu dan beliau percaya ia dibuat atas kesedaran bahawa kepentingan atau kestabilan politik di negeri Sabah.

“Dua perkara ini perlu diperkukuhkan agar kita dapat mentadbir negeri ini dan melaksanakan agenda-agenda pembangunan seperti yang terkandung dalam Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya. – Info X