Search

Warga emas ditemui rentung di dapur

March 2, 2023

admin

KINABATANGAN: Mayat seorang lelaki warga emas rentung dalam kebakaran di sebuah kediaman di Kampung Pauh, Jalan Setampin, di sini, tengah hari tadi.

Mayat mangsa berusia 84 tahun itu ditemui di bahagian dapur rumah oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran itu pada 1.15 tengah hari.

Katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai dari BBP Kinabatangan bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 82 kilometer.

Mangsa ditemui rentung di bahagian dapur rumah oleh pasukan bomba.

“Setiba di lokasi, pasukan bomba bertindak membuat pemadaman satu aliran dua pancutan menggunakan pam angkut dengan sumber air kolam.

“Pasukan bomba terpaksa menggunakan kenderaan utiliti ke lokasi kerana laluan yang berlumpur dan berlubang serta melalui jambatan kayu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang terbakar sepenuhnya.

“Seorang lelaki rentung berada di bahagian dapur rumah dan mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi dilaporkan terkawal pada 2.35 petang dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. – Info X