Search

Gagasan Rakyat akan perkukuhkan GRS – Hajiji

March 2, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Haji Noor berkata, kehadiran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan memperkukuh citra perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu jajaran lokal dan formula tempatan.

Beliau berkata, Gagasan Rakyat sebagai sebuah wadah “Solidariti Suara Sabah” akan membawa citra kesatuan masyarakat berbilang kaum yang mendokong agenda Sayangi Sabah yang menjadi landasan GRS dengan teras perjuangan Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.

“Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah, malah amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia”, katanya.

Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata demikian pada Majlis Pelancaran Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat bersama kepimpinan dan penyokong parti pada majlis pelancaran parti itu di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata, berdasarkan perubahan sentimen di peringkat akar umbi, rakyat Sabah mahukan parti tempatan bersifat lokal untuk menerajui kerajaan negeri.

“Memang benar, kita tidak seharusnya menolak kerjasama dengan parti nasional kerana kita perlu hidup dalam ekosistem federal dalam sebuah negara. Namun dari segi kerangka governan negeri, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang diterajui citra lokal.

“Kehadiran parti-parti bersifat nasional tetap relevan selagi semangat, teras, dan agenda perjuangan negeri tidak sesekali dikompromi. Sinergi elemen lokal dan nasional perlu berlandaskan kepada prinsip meletakkan kepentingan negeri sebagai agenda keutamaan dan memposisikan kepentingan negeri itu sebagai komponen penting agenda nasional.

“Ini kerana Sabah yang lebih maju dan jaya pastinya menyumbang kepada pembinaan Persekutuan Malaysia yang Madani iaitu konsep bercitrakan kemajuan yang lebih holistik merangkumi segenap aspek”, tegasnya.

Hajiji berkata, rakyat Sabah mahu negeri ini dipayungi oleh kerajaan yang berciri multiparti, bukan bersifat parti tunggal, sebuah kerajaan yang mempunyai elemen “check and balance” yang cukup kuat lagi inklusif.

Katanya, jika ditinjau sejarah, tiga kerajaan pertama Sabah sebenarnya adalah parti tempatan, tetapi bersifat “parti tunggal”.

“Kita belajar dan mengambil teladan dari pengalaman panjang yang telah kita lalui bersama. Kita harus melaksanakan pembaharuan dengan model perkongsian kuasa yang lebih inklusif dan membina.

“Kita harus mengelakkan daripada kuasa terpusat dengan sangat kuat kepada satu kutub tertentu, sama ada condong kepada kumpulan yang diwakili atau terikat kepada kecenderungan sesebuah kepimpinan”, tegasnya.

Hajiji turut mengajak dan menyeru rakan-rakan daripada parti-parti lain yang berkongsi agenda perjuangan untuk menganjak kerjasama yang lebih bernilai dan bermakna dengan GRS atas landasan Muafakat Sabah.

Katanya, muafakat ini perlu disimpul bukan hanya di peringkat kepimpinan, malah perlu dikembangkan ke peringkat akar umbi.

Sementara itu beliau berkata, GRS akan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menjunjung dan mengiktiraf hak dan kepentingan Sabah, termasuk menghormati kebebasan dan keabsahan pemimpin dan rakyat Sabah dalam menentukan barisan kepimpinan teraju kerajaan negeri.

“Sebagaimana peristiwa mutakhir yang telah kita lalui baru baru ini, kita amat menghargai budaya dan komitmen politik kepimpinan parti-parti nasional yang menghormati keputusan pemimpin-pemimpin tempatan dalam menentukan hala tuju kepimpinan negeri.

“Pendekatan ini sekali gus memelihara kredibiliti dan legitimasi para pemimpin mereka di peringkat negeri yang dipilih oleh rakyat akar umbi di Sabah”, katanya.

Hajiji juga merakamkan ucapan penghargaan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah memberikan mandat dan kepercayaan kepadanya untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Beliau bersyukur di sebalik kemelut yang berlaku, dia didokong oleh sebuah pasukan yang lebih inklusif serta responsif kepada keutamaan dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). – Info X