Search

Sabah FC setanding JDT – Trucha

March 2, 2023

admin

KOTA KINABALU: Sabah FC setanding pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), itu kata ketua Jurulatih Kelantan United FC, Tomas Trucha selepas skuad kendaliannya kecundang 1-3 kepada pasukan berkenaan di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Katanya, hanya Sabah FC yang dapat menyaingi pasukan Harimau Selatan itu dan pasti ramai mahu melihat pertemuan kedua-dua pasukan berkenaan dalam saingan Liga Super.

Pemain import Sabah FC, Jailton Da Silva (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Kelantan United FC dalam aksi Liga Super, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi. Foto Mohd Adam Arinin

“Bagi saya hanya Sabah FC mampu bersaing dengan JDT. Ia sudah berada pada tahap itu dan sudah tentu pertemuan JDT dengan Sabah FC nanti sesuatu yang menarik.

“Berbanding Selangor, Kedah, Terengganu, Pahang dan lain-lain saya fikir Sabah sekarang pada tahap teratas (top level),” katanya pada sidang media selepas aksi kedua Liga Super Sabah FC menentang Kelantan United FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Skuad Sang Badak menewaskan Kelantan United 3-1 hasil jaringan Darren Lok, Park Taesu dan Telmo Castanheira masing-masing pada minit ke-22, 26 dan 46, manakala Indra Putra menjaringkan satu gol sagu hati untuk pasukan pelawat pada minit ke-92.

Mengulas kekalahan pasukannya, Trucha berkata beliau tidak berpuas hati selepas sekali lagi gagal mencapai sasaran mengutip mata setelah tewas tipis 1-0 di tangan Selangor pada Ahad lalu.

Beliau turut menyatakan kekecewaannya apabila gawang Kelantan United dibolosi sejurus perlawanan babak kedua bermula dan mengakui masih banyak perlu dibaiki untuk pasukannya meneruskan aksi Liga Super. – Info X