Search

Walau menang, Kim Swee belum puas hati

March 2, 2023

admin

KOTA KINABALU: Walaupun menang 3-1 ke atas Kelantan United FC, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau tidak puas hati dengan kelekaan anak didiknya sehingga menyebabkan gawang pasukan dibolosi pada minit tambahan permainan.

Katanya, walaupun sasaran mengutip tiga mata tercapai, corak permainan pasukan perlu diperbaiki lagi agar kelemahan yang disebabkan kelekaan pemain terutama selepas mendahului perlawanan tidak lagi berulang.

Sebahagian penyokong Sabah FC yang hadir memberi sokongan dalam aksi menentang Kelantan United FC, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi. – Foto Mohd Adam Arinin

“Yang penting kita dapat lagi tiga mata tetapi selepas mendahului sudah tentu saya tidak puas hati dengn corak permainan kita di mana kita dibolosi pada minit-minit terakhir.

“Saya percaya ini satu kelekaan daripada pemain di mana kita harus tahu walaupun mendahului kita harus pastikan kita tidak dibolosi.

“Tiga mata penuh penting untuk ke perlawanan seterusnya tetapi kita harus memperbaiki lagi permainan pasukan,” katanya.

Dalam aksi Liga Super, di Stadium Likas, di sini, malam tadi, Sabah FC berjaya mengekalkan momentum kemenangan mereka apabila menewaskan Kelantan United FC 3-1.

Mengulas prestasi pemain selepas mengharungi dua perlawanan Liga Super 2023, Kim Swee berkata masih terlalu awal membuat penilaian, namun menegaskan beliau tidak mahu melihat anak buahnya hanya menyinar dalam dua tiga perlawanan.

“Masih terlalu awal untuk kita menilai pemain tapi bagi saya dua perlawanan setelah mendapat enam mata, saya percaya bukan Darren Lok saja, semua pemain melakukan tugas yang baik dan penting di sini untuk mereka kekal konsisten.

“Saya tidak ingin melihat pemain hanya bersinar dua tiga perlawanan tetapi selepas itu mereka tidak boleh bermain dengan baik. Bagi saya semua pemain perlu kekal konsisten tidak kira Darren Lok atau pemain mana sekalipun,” katanya.

Kim Swee berkata, selepas ini pemain Sabah FC perlu mengukuhkan lagi corak permainan terutama apabila bertandang ke gelanggang lawan yang disifatkannya berbeza berbanding perlawanan di hadapan penyokong sendiri.

Sabah FC akan berdepan Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada 6 Mac ini. – Info X