KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, jemaah Kabinet Sabah akan membuat keputusan bila masa yang sesuai untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) berkaitan anti lompat parti di negeri ini.
Katanya, tidak timbul dakwaan kononnya kerajaan negeri sengaja melengah-lengahkan pembentangan RUU itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) memandangkan ia belum diputuskan.
Beliau berkata, keputusan mengenai bila masa yang sesuai untuk membentangkan RUU itu akan ditentukan apabila beliau membawa perkara itu pada mesyuarat Kabinet negeri nanti.
“Kita akan membuat keputusan, saya bawa ke jemaah menteri untuk urus bila tarikh kita akan bentangkan pada persidangan DUN.
“Sabar, nanti ada sidang DUN. Ia bukan ditangguhkan tapi ia terserah kepada Kabinet untuk membuat keputusan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat, bagaimanapun enggan menjelaskan bila perkara itu akan dibincangkan jemaah Kabinet.
Katanya, perkara itu adalah urusan Kabinet negeri dan ia akan dimaklumkan setelah keputusan mengenainya dibuat nanti.
“Jadi setakat ini kita belum buat keputusan. Kita akan bawa ke Kabinet, saya akan bawa nanti,” katanya.
Sebelum ini, Parti Warisan (WARISAN) menuduh kerajaan negeri sengaja melengah-lengahkan pembentangan RUU itu walaupun akta berkaitan perkara itu sudah dilaksanakan di peringkat persekutuan.
Pada masa sama, parti itu mendakwa tindakan melambatkan pembentangan RUU itu menjejaskan reputasi Sabah sebagai negeri yang terkenal dengan budaya melompat parti.
Sepanjang bulan lalu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) WARISAN keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat pimpinan Hajiji.
Sehingga ke hari ini WARISAN sudah kehilangan seramai 10 ADUN daripada 23 ADUN akibat tindakan keluar parti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020. – Info X