Search

Sebutan semula kes wanita bunuh pemandu e-Hailing 8 Mei

March 6, 2023

admin

TAWAU: Mahkamah Majistret, di sini, menetapkan 8 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang wanita yang dituduh membunuh pemandu e-Hailing pada 13 Januari lalu.

Pihak Pendakwaan, hari ini, memohon agar kes itu ditangguh bagi melengkapkan semua dokumen selain masih menunggu laporan kimia serta laporan pakar sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Permohonan tarikh sebutan baharu itu dikemukakan pasukan pendakwaan terdiri Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Khairul Azreem Mamat; TPR Rohaiza Abdul Rahman dan TPR Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu, di sini, hari ini.

Tertuduh, Nurima Juli, 33, pada 30 Januari lalu didakwa atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu, 61, yang juga seorang pemandu e-hailing terbabit.

Kejadian itu berlaku berhampiran kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, dekat sini, antara 7.30 malam hingga 10.30 pada 13 Januari lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Selain Nurimah, pada 8 Februari lalu enam anggota polis termasuk seorang awam iaitu Rosdi Rastam, 44, Denis Anat Anit, 44, Fabian Anak Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39 dan Vivien Fabian, 34, turut didakwa atas kes yang sama.

Manakala Pegawai Kanan Polis, Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, turut didakwa bersubahat dengan enam tertuduh itu membunuh Nurman di tempat dan waktu yang sama. – Info X