KOTA KINABALU: Empat tonggak utama Sabah FC mungkin tidak dapat diturunkan pada perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC, di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata mereka termasuk Telmo Castanheira, Gabriel Peres, Jailton Da Silva dan Darren Lok selepas mengalami kecederaan pada perlawanan menentang Kuching City FC, Isnin lalu.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak begitu bimbang dengan kecederaan dialami pemain berkenaan kerana masih ada pemain yang mampu mengisi tempat mereka seterusnya menggalas tanggungjawab diberikan.
“Kita akan lihat perkembangan mereka ini….Jadi saya hanya dapat tentukan mereka dapat diturunkan ataupun tidak selepas latihan esok…Kita masih mempunyai lebih kurang 48 jam sebelum bertemu pasukan Sri Pahang.
“Secara keseluruhannya, pemain-pemain lain berada dalam keadaan amat baik…Saya percaya kecergasan mereka dalam tahap yang cukup tinggi di mana setiap pemain yang diturunkan tak kira pada kesebelasan utama ataupun dimasukkan pada masa gantian mampu menunjukkan tahap kecergasan yang cukup bagus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenai gandingan Saddil Ramdani dan Darren Lok, Kim Swee berkata, kedua-dua pemain ini bukan sahaja menunjukkan kombinasi yang baik tetapi mereka berjaya mendapatkan gol serta bermain dengan begitu baik pada setiap perlawanan.
“Kedua-dua mereka sangat serasi….Walaupun mereka ini baru digandingkan bersama-sama dalam beberapa perlawanan tetapi prestasi mereka cukup baik. Begitu juga dengan pemain-pemain lain juga dilihat sangat komited dengan menunjukkan satu prestasi yang cukup baik.
“Jadi saya harap agar semua pemain dapat mengekalkan rentak persembahan yang baik disamping mampu menunjukkan prestasi cemerlang mereka untuk perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya. – Info X