PAPAR: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang besi jalan di laluan Pan Borneo di Kilometer 7, Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, mangsa berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda CBR seorang diri dari Kampung Simpudu, menuju ke Benoni.
Katanya, sebaik mangsa tiba di lokasi kejadian di jalan berselekoh, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas sendiri dan melanggar penghadang besi jalan di sebelah kanan lalu tercampak ke parit kecil sejauh lima meter dari bahu jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu pegawai Perubatan Hospital Papar.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek dikatakan baru pulang daripada rumah rakannya di Kampung Simpudu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X