Search

653 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

March 15, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seramai 653 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 7, melalui Pelabuhan Sandakan, hari ini.

Semua PATI berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Tawau dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan pengangkutan laut.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua yang dipindahkan membabitkan seramai 439 lelaki, 145 wanita dan 69 kanak-kanak.

Tahanan PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 7 melalui Pelabuhan Sandakan. – Foto JIM

“Jumlah pecahan mengikut usia bagi kanak-kanak dalam pengusiran kali ini adalah membabitkan 23 bulan hingga 12 tahun ke bawah manakala bagi dewasa dari 13 hingga 68 tahun.

“Kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa/penjaga masing-masing.

“Semua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

Antara 653 tahanan warga Filipina yang dihantar pulang ke negara asal mereka. – Foto JIM

Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.

653 PATI dihantar pulang ke negara asal menggunakan pengangkutan laut di Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina. -Foto JIM

“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan,” katanya.

Tambah beliau lagi, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI.

“Ia dijalankan selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya. – Info X