Search

Anggota Maritim Malaysia didenda RM5,000 kerana minta rasuah

March 17, 2023

admin

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dia mengaku bersalah meminta suapan daripada seorang pemilik kapal yang ditahannya di perairan Sepanggar, di sini, pada 2021.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayar denda.

Berdasarkan fakta kes, pada 17 Mac 2021, kira-kira jam 11 pagi, pemilik kapal yang juga pengadu dalam kes itu dihubungi oleh tekong kapal mengatakan kapal miliknya ditahan pihak Maritim Malaysia di perairan Sepanggar, di sini.

Ketika pemeriksaan oleh pihak APMM ke atas kapal pengadu, lesen botnya didapati tamat tempoh sebelum seorang anggota Maritim Malaysia yang memperkenalkan diri sebagai Alif kemudiannya bercakap dengan pengadu dan meminta wang sebanyak RM2,000.

Bayaran itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengadu dan botnya.

Berikutan itu, tertuduh didakwa atas pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan satu pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tertuduh mengaku salah atas pertuduhan pilihan sebelum hakim menjatuhkan hukuman penjara RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom. – Info X