KOTA KINABALU: Selain memecah masuk premis pameran ‘showroom’ kenderaan di Kepayan, di sini, untuk melarikan dua kenderaan pacuan empat roda, dua penjenayah turut memecah masuk tiga rumah di Semenanjung.
Bagaimanapun kegiatan licik dua penjenayah yang dikehendaki ‘Wanted Person’ berakhir apabila ditahan polis di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA).
Kedua-dua suspek berjaya ditahan sebaik tiba di pintu ketibaan selepas menaiki penerbangan dari Semenanjung, jam 8 malam, 15 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan awal, kedua-dua suspek bersama seorang lagi rakan dilaporkan terbabit pecah kedai bilik pameran ‘showroom’ kenderaan di Jalan Lintas, Kepayan, 8 Mac lalu.
Katanya, dua kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dilarikan sebelum kejadian disedari penolong pengurus kedai yang terus membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan polis, mendapati kumpulan ini menggunakan modus operandi dengan memecahkan cermin kedai untuk masuk ke dalam showroom.
“Mereka seterusnya mengambil kunci kenderaan lalu melarikan dua kenderaan yang diletakkan di luar kedai yang tidak berpagar. Kenderaan yang dicuri adalah untuk tujuan dijual bagi mendapatkan wang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, hasil siasatan dan risikan berterusan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, berjaya menahan dua suspek utama berusia 36 dan 39 tahun sebaik tiba dari Semenanjung di pintu ketibaan KKIA.

“Ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas barang-barang hasil pecah rumah yang dilakukan di Semenanjung.
“Antaranya 11 telefon bimbit pelbagai jenis, 10 utas jam tangan pelbagai, sebuah komputer riba, wang tunai dan lain-lain barang yang dipercayai hasil kegiatan jenayah pecah rumah yang dilakukan suspek di Sabah dan Semenanjung.
“Dengan tertangkapnya dua suspek itu juga, polis berjaya menyelesaikan kes pecah kedai pameran kenderaan yang disusuli dengan penemuan semula dua kenderaan yang dilarikan suspek dengan anggaran kerugian RM350,000,” katanya.
Menurutnya, pasukan polis turut menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang membeli kenderaan curi dengan harga RM10,000.

“Siasatan lanjut yang dijalankan ke atas dua suspsk itu mengaku terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di Sabah yang membabitkan satu kes di daerah ini, Keningau (2 kes) dan Semenanjung membabitkan tiga kes di Selangor dan di Perak.
“Kedua-dua suspek terbabit masing-masing mempunyai 18 dan 19 rekod jenayah lampau dan tersenarai dalam Orang Dikehendaki ‘Wanted Person’. Hasil ujian saringan awal dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
“Polis kini sedang memburu seorang lagi rakan sejenayah suspek yang berasal dari Kampung Darau, Manggatal. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan. – Info X