Search

494,059 pelajar seluruh Sabah mulakan sesi persekolahan

March 20, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seramai 494,059 murid dan pelajar sekolah di seluruh negeri ini memulakan sesi persekolahan, hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan berkata, 212,201 pelajar membabitkan sekolah menengah manakala selebihnya adalah murid sekolah rendah.

Katanya, minggu pertama persekolahan kali ini dimulakan dengan pendekatan menyeronokkan bagi menggalakkan kehadiran murid serta pelajar.

Abidin (lapan dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama warga SK Api-Api, Kota Kinabalu selepas menyempurnakan program pengoperasian sekolah berkenaan, hari ini.

“Minggu ini, kita perkenalkan kepada anak-anak keseronokan mereka untuk datang ke sekolah di mana mereka bahagia dan ceria.

“Sesi pagi ini dimulakan dengan senam robik bersama ibu bapa yang hadir ke sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Pengoperasian Sekolah Kebangsaan Api-Api, di sini, hari ini.

Abidin (berdiri dua dari kiri) meninjau pengoperasian hari pertama SK Api-Api, di Kota Kinabalu, hari ini.

Abidin berkata, beliau berharap, pemimpin sekolah seperti pengetua dan guru besar dapat memastikan sesi pembelajaran selepas ini berjalan dengan baik.

“Saya mengharapkan semua pengetua dan guru besar di semua 24 PPD negeri ini dapat memastikan sesi pembelajaran berjalan lancar.

“Minggu ini, kita ceriakan dengan orientasi sekolah agar seronok anak-anak datang ke sekolah,” katanya.

Untuk rekod, sesi awal persekolahan tahun ini juga membabitkan seramai 42,800 guru sekolah menengah dan rendah. – Info X