Search

Dua sahabat maut kenderaan rempuh pokok

March 21, 2023

admin

SANDAKAN: Dua sahabat maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka hilang kawalan lalu sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Utara Batu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, pemandu Raynerd Noell Tan, 22, yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Rakan mangsa berusia 22 tahun yang turut tersepit di bahagian penumpang parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Batu 4 menghala ke Taman Mawar.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan Toyota Hilux yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ke pembahagi jalan lalu merempuh sebatang pokok.

“Akibat kemalangan itu, pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang meninggal dunia ketika dirawat di hospital,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan. – Foto Bomba

Abdul Fuad berkata, siasatan diteruskan mengikuti Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipercayai terbabas melanggar pokok hingga dua mangsa tersepit dalam kenderaan.

“Sembilan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan EMRS dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa.

“Dua mangsa lelaki tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dilaporkan seorang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa parah dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. – Info X