PUTATAN: Polis masih menjalankan siasatan mengumpul bahan bukti berkait kes remaja perempuan ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan setinggan Kampung Forest, Sandakan, pada 14 Mac lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, siasatan berkenaan akan diketahui dalam masa terdekat.

“Kes masih dalam siasatan dan polis masih dalam proses mengumpul bukti.
“Dalam masa terdekat kita akan tahu keputusannya,” katanya ketika ditemui media pada Program 1st Day At School di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes remaja perempuan berusia 15 tahun yang ditemui mati dipercayai dibunuh.
Mayat perempuan itu ditemui orang awam sebelum kejadian dilaporkan kepada polis jam 10 pagi, pada 14 Mac lalu.
Susulan penemuan mayat perempuan itu, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menjalankan siasatan dan seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun ditahan berhampiran lokasi kejadian, pada 12.30 tengah hari, hari yang sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Info X