PUTATAN: Kesalahan jenayah membabitkan pelajar di negeri ini masih di tahap membimbangkan kerana statistik jenayah bagi tempoh Januari hingga Disember 2022 menunjukkan seramai 160 pelajar ditahan terbabit pelbagai jenayah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, kerjasama tersusun dan bersistematik antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta PDRM yang diwujudkan perlu diteruskan dari semasa ke semasa.

Katanya, mengikut statistik Januari hingga Disember 2022, seramai 160 pelajar ditahan kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan jenayah.
“Daripada jumlah itu, seramai 140 pelajar adalah pelajar lelaki manakala selebihnya adalah pelajar perempuan.
“55 pelajar ditahan selepas terbabit dalam kes merusuh yang disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program 1st Day At School di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting.
Mengulas lanjut, Idris berkata, ia diikuti dengan 21 pelajar yang melakukan kesalahan mencederakan dan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Katanya, seramai 20 lagi pelajar lelaki ditahan atas kesalahan rogol manakala selebihnya membabitkan kesalahan mencuri iaitu 14 pelajar lelaki dan lima pelajar perempuan.
“Jumlah ini adalah satu angka yang membimbangkan kerana pelajar adalah generasi masa depan yang akan mencorakkan negara umumnya.
“Daripada 160 pelajar yang ditahan, hanya sembilan dibebaskan tanpa syarat selepas selesainya siasatan.
“149 pelajar lagi dibebaskan atas jaminan polis yang berkemungkinan akan dituduh di mahkamah. Manakala dua lagi sudah dituduh di mahkamah atas kesalahan merusuh dan mencuri,” katanya.
Sehubungan itu, Idris berkata, fungsi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) perlu digunapakai dalam usaha mewujudkan suasana sekolah yang aman dan selamat.
Katanya, peranan PPS perlu dimanfaat sebaik mungkin dengan memberikan khidmat nasihat dan tindakan wajar sekiranya berlaku sebarang jenayah membabitkan pelajar.
“Mekanisme ini diyakini dapat melahirkan komuniti sekolah yang celik undang-undang dan mempunyai pengetahuan mengenai langkah pencegahan jenayah,” katanya. – Info X