TUARAN: Sebanyak 1,853 unit rumah mampu milik untuk golongan B40 bakal dibina di Kampung Serusup, kira-kira 4 kilometer dari pekan Tuaran dengan kos pembangunan berkenaan dianggarkan sebanyak RM406 juta.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebaik sahaja perjanjian tambahan usahasama (kali kedua) dengan pemaju ditandatangani selepas bulan Ramadan ini.
“Seluas 15.61 ekar di dua lokasi berdekatan telah diwartakan untuk mendirikan perumahan tersebut mengandungi lima blok apartmen yang menelan belanja RM406 juta, ” katanya semasa melawat tapak cadangan projek itu, semalam.
Masiung berkata, daripada jumlah itu, tiga blok apartment mengandungi 1,062 unit dibina di tapak seluas 8.92 ekar manakala selebihnya iaitu dua blok lagi mengandungi 792 unit, dibina bersebelahan di atas tanah seluas 6.69 ekar dengan jarak lokasi 500 meter.
Katanya, projek perumahan mampu milik berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri memenuhi keperluan tempat kediaman rakyat terutama golongan B40.
Beliau berkata, projek perumahan itu dijangka siap pada 2025 dengan setiap unit rumah apartmen mempunyai dua bilik itu akan dijual pada kadar RM250 ribu ke atas.
Menurutnya lagi, perumahan mampu milik itu dilaksanakan secara usahasama dengan pemaju tempatan. – Info X