Search

Roboh dinding rumah, elak api merebak

March 22, 2023

admin

TAWAU: Tindakan pantas bomba mengawal api yang sedang marak berjaya mengelak kebakaran daripada merebak dalam kejadian di perkampungan atas air di Kampung Hidayat Batu 4, di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.58 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

Katanya, Seramai 16 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi bagi melakukan pemadaman.

Pasukan bomba memadam kebakaran di Kampung Hidayat, Tawau. – Foto Bomba

“Setiba di lokasi, sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya dan operasi pemadaman segera dilakukan menggunakan satu aliran, dua pancutan dari tangki jentera dan air laut (pam angkut).

“Anggota bomba bertindak merobohkan bahagian dinding sebuah rumah berdekatan bagi mencegah api daripada merebak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal daripada merebak dan operasi terkawal pada 4.44 pagi.

“Operasi tamat jam 6.20 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. – Info X