Search

156 murid SK Nunuyan Laut teruja terima sumbangan alat persekolahan

March 22, 2023

admin

SANDAKAN: Seramai 156 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nunuyan Laut, di sini, teruja apabila menerima sumbangan alat persekolahan yang disampaikan Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis Abdul Fuad Abdul Malek, semalam.

Sumbangan berkenaan dibuat sempena Program ‘First Day At School’ anjuran bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sekolah berkenaan.

Program itu diadakan juga adalah bagi membantu murid daripada keluarga kurang berkemampuan untuk menghadapi sesi persekolahan pada tahun ini.

Penyerahan bantuan berbentuk beg, buku, dan alat tulis kepada para murid turut disaksikan Guru Besar SK Nunuyan Laut, Mohd Busrah Nordin.

Busrah berkata, program yang diadakan bersempena dengan Hari Polis dan pembukaan sesi persekolahan itu julung kali diadakan sepanjang tempoh beliau berkhidmat di sekolah itu.

“Selama saya menjadi guru besar hampir 23 tahun ini adalah kali pertama program seumpama ini diadakan. Ini sangat menggembirakan kami.

“Bukan sahaja kami, malah anak murid kami pun gembira menerima sumbangan ini”, katanya ketika ditemui media.

Abdul Fuad (tengah) merakam gambar kenangan bersama warga SK Nunuyan Laut, Sandakan.

Tambah beliau, berdasarkan situasi harga barang yang semakin meningkat, bantuan yang disalurkan kepada murid di sekolah tersebut menurut beliau amat signifikan terutama bagi mereka yang datang daripada keluarga B40.

“Mereka (pelajar) sangat teruja. Kalau kita lihat keadaan, perkembangan sekarang ini semua barang naik. Jadi, kebanyakan murid kita di sini adalah golongan B40.

“Jadi sudah tentu perbelanjaan mereka meningkat. Jadi dengan adanya bantuan seperti ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang mereka tanggung sejak barang-barang sekarang naik (harga),” katanya.

Terdahulu, seramai 20 orang anggota PDRM Sandakan bersama wakil penyumbang bantuan persekolahan daripada KK Auto Dealer terlibat bersama warga SK Nunuyan Laut, Sandakan dalam Program ‘First Day At School’ berkenaan. – Info X