KOTA KINABALU: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok.
Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari itu menurut perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.
Terdahulu, tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan tarikh permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia adalah pada hari ini, 22 Mac bersamaan 29 Syaaban 1444 Hijriah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini turut menyatakan, tarikh permulaan puasa akan diisytiharkan pada malam itu melalui radio dan televisyen.
Menurut kenyataan itu juga, jawatankuasa berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara. – Info X