KOTA KINABALU: Setiap kali tibanya Ramadan, sudah pastinya tempat yang paling menjadi tumpuan untuk orang ramai mencari juadah berbuka puasa adalah di Bazar Ramadan.
Daripada pelbagai jenis makanan sehinggalah pelbagai jenis minuman terdapat di Bazar Ramadan, sehingga kadang-kadang mereka yang mengunjunginya rambang mata untuk membuat pilihan.
Antara lokasi bazar yang sering ‘dibanjiri’ orang ramai adalah di Lintasan Deasoka, yang terletak pusat bandar raya Kota Kinabalu.
Tinjauan Info-X di bazar berkenaan mendapati, sambutan orang ramai pada hari pertama berpuasa begitu menggalakkan dengan kehadiran ratusan pengunjung.
Pelbagai pilihan menu menarik sama ada kuih-muih tradisional masyarakat setempat dan makanan yang sering menjadi pilihan umum setiap kali bulan puasa
Malah pelbagai minuman turut ditawarkan di bazar berkenaan.
Bazar Ramadan Lintasan Deasoka adalah salah daripada lapan bazar yang dibuka di Kota Kinabalu sempena dengan bulan Ramadan ini. – Info X