SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor, di Kampung Melayu, Batu 8, di sini, semalam.
Hasil serbuan pada jam 4 petang itu, pasukan KPDN telah
menemui dan menyita sebanyak 4,000 liter diesel di dalam skid tank beserta alat-alat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng iaitu sebuah skid tank berkapasiti 10,000 liter, satu unit engine pump dan hos dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM9,600.

Selain itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 64 tahun yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ketua KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, sebelum serbuan dibuat, risikan telah dilakukan pihaknya selama tiga hari.
Katanya, berdasarkan keterangan awal, pekerja di lokasi terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.
“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, katanya, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
“KPDN Cawangan Sandakan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran berikut:
1. Whatsapp 019-279 4317 / 019-848 8000;
2. Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my;
3. Call Centre 1-800-886-800;
4. Emel: [email protected] ;
5. Ez ADU KPDN;
6. Hadir sendiri ke Pejabat KPDN yang berdekatan;
7. Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC): 03 – 8882 6088 / 6245;
8. Surat Rasmi ke Pejabat KPDN yang berdekatan; dan
9. Bilik Gerakan KPDN Negeri (senarai nombor talian sila layari portal rasmi) – Info X