KOTA KINABALU: Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dilantik selaku Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengambil alih tugas daripada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah yang akan bersara wajib esok.
Majlis serah terima tugas antara Idris dengan Jauteh berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini, dengan disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Turut berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah antara isteri Idris, Datin Suraya Zainal kepada isteri Jauteh, Datin Norhayatie Farhana Abdullah, yang akan memangku tugas berkenaan.
Idris memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah selama setahun enam bulan bermula pada 2 September 2021 bagi menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali sebelum ini yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.
Acryl Sani berkata, penghargaan tidak terhingga kepada Idris yang berkhidmat selama lebih 35 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Memberi Perkhidmatan yang terbaik bermula daripada jawatan pertama sehingga sekarang beliau bersara dengan jawatan pengkat Komisioner Polis yang satu pencapaian sangat membanggakan dalam kerjaya seorang pegawai polis.
“Tentu sekali pihak PDRM mengucapkan selamat bersama kepada beliau (Idris),” katanya.
Jelasnya, kepada Jauteh, PDRM percaya dengan pengalaman yang beliau perolehi selama ini, pengalaman luas dalam pelbagai tugas, bidang yang selama ini beliau telah lalu.
“Saya percaya dan yakin Sabah ini berada di tangan pemimpin yang betul untuk dikendalikan daripada aspek keselamatan, keharmonian sosial dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai pelantikan Jauteh sebagai pemangku, Acryl Sani berkata, pihaknya akan mengumumkan pelantikan rasmi jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah dalam tempoh tidak berapa lama lagi.
“Untuk makluman, pada hujung minggu ini akan diadakan mesyuarat oleh Pesuruhjaya Pasukan Polis yang akan membincangkan dan juga untuk memilih serta mengesyorkan nama-nama yang akan dipilih bukan sahaja di Sabah, bahkan juga di beberapa tempat lain.
“Calon (Pesuruhjaya Polis Sabah) ada beberapa nama yang dikemukakan dan dibincangkan dalam mesyuarat. Kita tunggulah apa keputusan mesyuarat yang akan dibuat tidak berapa lama lagi,” katanya. – Info X