SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tiga lelaki warga Filipina kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Sipanggau, di sini semalam.
Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 23 hingga 40 tahun ditahan PPM Semporna melalui Op Taring Gelora Khas kira-kira 5 petang.

Pemeriksaan ke atas bot dinaiki suspek membawa kepada rampasan 150 kilogram ikan hasil tangkapan disyaki menggunakan bahan letupan.
Turut dirampas kompresor angin dan satu gelung hos.
Nilai rampasan bot dan ikan dianggarkan berjumlah RM10,000.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.
“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perikanan cawangan Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X