KENINGAU: Seramai 18 orang yang datang dari pelbagai latar belakang dilantik sebagai ahli Majlis Daerah Tambunan yang baharu bagi sesi 2023-2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, kesemua yang dilantik itu diyakini akan membawa ilmu pengetahuan dan pengalaman mereka untuk memajukan Tambunan dan memantapkan pengurusan Majlis Daerah.
“Tambunan merupakan salah satu daerah yang sedang membangun dan mempunyai potensi-potensi khususnya dalam bidang pertanian dan pelancongan,” katanya.
Jeffrey berkata demikian dalam sidang media selepas acara serentak Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Sesi 2023-2025, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kakitangan Majlis Daerah Tambunan tahun 2022, dan Majlis Berbuka Puasa Majlis Daerah Tambunan, di sini, semalam.

Beliau berharap, kesemua yang dilantik mampu menjalankan tugas dengan baik, menunjukkan hasil, dan meningkatkan pungutan hasil demi pelaksanaan program-program pembangunan di Tambunan.
Katanya Tambunan bergantung kepada tamu-tamu sebagai tempat pemasaran pelbagai produk dan infrastruktur perlu dinaiktaraf untuk kemudahan mengeluarkan produk-produk dan menghubungkan para pelancong ke tempat-tempat pelancongan.
Turut hadir Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah Datuk Isnin Bin Aliasnih @ Liasnih; Pegawai Daerah Tambunan merangkap Pengerusi Majlis Daerah Tambunan, Sabitun Makajil; dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tambunan, Rizal Maulah; Ahli-ahli Majlis Daerah Tambunan. – Info X