Search

Buang rokok ke sungai elak ditahan

April 3, 2023

admin

LAHAD DATU: Penyeludup bertindak membuang tiga bungkusan plastik hitam berisi rokok seludup ke dalam sungai selepas kegiatan haram mereka dikesan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Kegiatan itu dikesan anggota Maritim Malaysia Zon Maritim Lahad Datu ketika sedang menjalankan penugasan Op Pluto Timur di kawasan perairan Hutan Simpan Muara Sungai Timbadu, di sini, kira-kira jam 8.30 malam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan tanggungjawab mengesan pergerakan sebhah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairang Sungai Timbadu.

Katanya, menyedari kehadiran bot peronda, pengemudi bot terbabit bertindak meloloskan diri dengan memecut laju dan membuang tiga bungkusan plastik berwarna hitam ke dalam sungai.

“Bot suspek memecut laju menuju ke kawasan perairan Sungai Timbadu serta bertindak membuang tiga bungkusan plastik warna hitam ke sungai ketika dikejar.

“Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan yang dibuang mendapati sejumlah 600 kotak rokok putih dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nik Mohd Rizam berkata, rokok yang dirampas sebanyak 12,000 batang rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM8,000.

“Semua barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, katanya Maritim Malaysia akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakukan jenayah di Zon Maritim Malaysia.

“Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta untuk bekerjasama menyalurkan maklumat ataupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam di talian 089-885727 atau MERS 999,” katanya. – Info X