Search

Jangan keluar kenyataan bercanggah, kelirukan rakyat – Warisan beritahu Hajiji

April 3, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan, Justin Wong meminta Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan kepada rakyat.

Katanya, kenyataan Hajiji mengatakan Sabah menerima RM33 bilion pelaburan masuk sepanjang 2022 adalah bercanggah dengan jawapan diberikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat pada 28 Mac lepas.

Beliau mendakwa, kenyataan yang dikeluarkan Hajiji itu hanya untuk menutup kelemahan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam aspek pelaburan asing yang kononnya berjaya dibawa masuk ke Sabah.

“Zafrul menjelaskan Sabah mencatat RM11.5 bilion pelaburan masuk sepanjang tempoh 2022 bukan RM33 bilion seperti yang Hajiji umumkan pada 23 Januari lalu dan mengulanginya semula dalam majlis meraikan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Februari.

“Pada 2020, Malaysian Investment Development Authority (MIDA) telah melaporkan bahawa Sabah mencatat RM12.4 bilion pelaburan yang diluluskan sepanjang 2019.

“Ini menunjukkan bahawa prestasi kerajaan pentadbiran Warisan adalah lebih baik banding dengan GRS yang merekodkan pelaburan masuk RM11.5 bilion sahaja seperti yang didedahkan Tengku Zafrul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung berkata, Warisan menyambut baik pelaburan masuk yang banyak demi kebaikan Sabah dan mereka juga faham ekonomi baru mula naik kembali selepas era pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, Hajiji tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang cuba memberikan gambaran palsu bahawa ini semua merupakan satu kejayaan beliau dan kerajaan GRS sedangkan hakikatnya prestasi GRS masih rendah berbanding 2019.

“Sebagai Ketua Menteri, Hajiji tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tanpa sokongan dan bukti yang jelas kerana ini akan memberi gambaran yang tidak baik terhadap seorang pemimpin utama Sabah,” katanya lagi. – Info X