KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berkata, kejadian gempa bumi bermagnitud 4.4 yang dilaporkan berlaku awal pagi semalam tidak signifikan kerana ianya tidak akan menghasilkan gegaran di permukaan memandangkan ia berlaku terlalu dalam iaitu 611 kilometer.
Dalam satu kenyataan hari ini, MetMalaysia bagaimanapun memberitahu yang jabatan berkenaan akan terus memantau secara dekat kejadian gempa bumi berkenaan dan memastikan tiada gempa susulan berlaku.
“Kejadian gempa pada 3 April jam 3.32 pagi bermagnitud 4.4 dan kedalaman 611 kilometer di kedudukan 6.45° Utara 115.87° Timur Laut (Laut China Selatan), telah dikesan oleh Sistem Rangkaian Seismik MetMalaysia.
“Berdasarkan analisis, gempa bumi tersebut tidak signifikan kerana tidak akan menghasilkan gegaran di permukaan memandangkan ia berlaku terlalu dalam iaitu 611 kilometer.
“Tambahan pula, kedudukan gempa bumi berkenaan berada di kedudukan yang secara amnya di luar zon aktif gempa iaitu di luar lingkaran api Pasifik,” kata.
Kenyataan itu berkata, berdasarkan peta seismotektonik edisi kelima 2009 yang dikeluarkan oleh JMG, gempa bumi terbabit berada di kawasan inactive thrust fault.
Oleh yang demikian, katanya, gempa bumi yang berlaku di laut dengan magnitud kurang 5 dan kedalaman melebihi 300 kilometer tidak memberi kesan di permukaan.
“Sehubungan itu, maklumat gempa bumi berkenaan telah direkodkan dan tidak dihebahkan kepada pihak awam.
“Namun demikian, pemantauan berterusan tetap dilakukan oleh MetMalaysia,” katanya. – Info X