SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 5,500 liter petrol dalam Op Taring Gelora di kawasan laut Tanjung Manimpa, Pulau Bum-Bum, di sini, semalam.
Semua minyak petrol itu diisi dalam 220 tong jerikin yang disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran dengan menggunakan lapan buah bot laju.
Operasi yang bermula jam 3 pagi hingga 3.35 pagi, bot ronda PPM Semporna yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan mengesan beberapa bot laju yang mencurigakan.

Menurut sumber, susulan itu, anggota PPM menjalankan pemeriksaan lanjut dan tidak menemui individu di sekitar kawasan berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut terdapat lapan bot laju yang ada muatan tong jerikin berisi petrol.
“Selepas sejam melakukan pemerhatian tiada individu yang datang untuk menuntut.
“Jumlah keseluruhan rampasan lapan bot laju beserta enjin dan minyak petrol dianggarkan bernilai RM152,925,” katanya.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan rampasan berkenaan.
“Lapan bot laju beserta enjin bersama muatan kemudian dibawa ke pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut kerana disyaki cuba diseludup ke negara jiran.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X